FESTIVAL KONVOKESYEN UNIVERSITI MALAYA 2011 (FESKUM '11)

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya merupakan acara tahunan yang diadakan secara gilang-gemilang setiap tahun. Sambutan yang dikenali sebagai Festival Konvokesyen Universiti Malaya atau ringkasnya FESKUM diadakan sepanjang berlangsungnya majlis konvokesyen bagi meraikan para graduan Universiti Malaya yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. FESKUM secara tradisinya dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

PENGENALAN

"Generasi muda adalah golongan yang bernilai bagi sesebuah negara. Merekalah yang bakal menjadi pelapis, penggerak dan pemacu utama dalam meneruskan agenda kepimpinan negara, serta mencorakkan maju atau mundur sesebuah negara.

Satu falasafah mengenai generasi muda yang berbunyi ”Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara,lihatlah pada generasi mudanya” Perkara ini membawa maksud serius mengenai peranan generasi muda dalam mencapai halatuju negara. Lebih lebih lagi mereka itu merupakan graduan yang menuntut di menara gading ,tempat di mana mereka menimba ilmu dan melakar permulaan bagi sejarah hidup mereka.

FESKUM ’11 bukan sahaja dianggap gelanggang yang tepat untuk mencungkil,mengasah dan menggilap kemahiran bahkan berpotensi menghasilkan para mahasiswa yang bukan sahaja intelek dalam soal akdemik semata, bahkan kreatif, berani dan berdaya saing. Di pentas ini juga para mahasiswa didedahkan dengan pengalaman dan suasana yang baru, yang mana kita sedia maklum bahawa suasana ini amat berbeza sebagai kehidupan mahasiswa biasa.

Tambahan pula, pengalaman yang diperolehi itu merupakan guru terbaik dalam mengajar mahasiswa erti kehidupan berorganisasi. Kami merasakan di sini juga sebagai tapak asas dalam melahirkan bukan sahaja bakal pemimpin negara bahkan usahawan yang akan memberi sumbangan besar dalam ekonomi negara pada masa hadapan.

Diharapkan semoga dengan usaha dan harapan kami dalam mengadakan FESKUM’11 ini dapat membantu sedikit sebanyak usaha KPTM yang cuba melahirkan semaksima generasi modal insan yang bermanfaat serta berwawasan kepada agama, bangsa dan negara. Semoga usaha ini mendapat hidayah dan keredhaan Allah S.W.T.

Objektif projek ini adalah selaras dengan gagasan dan hala tuju FESKUM’ 11, iaitu:

INTELEKTUAL DAN AKADEMIK
Menyediakan pelbagai program dan pengisian yang bersifat intelektual yang memberi inspirasi kepada warga kampus dan pihak luar yang datang mengunjungi FESKUM’11. Demikian dalam mendokong harapan universiti, iaitu yang ingin melahirkan graduasi pemimpin dalam bidang penyelidikan dan inovasi (The Leader in Research & Innovation)

PERPADUAN DAN KESATUAN
Perpaduan merupakan elemen dalam mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat kampus yang berbilang kaum, bangsa dan agama. Seiring dengan visi MPMUM pada kali ini iaitu” Menerajui Kesatuan Mahasiswa ke Arah Pembentukan Mahasiswa yang Berkualiti dan Progresif”. Maka elemen penting cuba diimplementasi dan diterapkan dalam kalangan Majlis Eksekutif projek, bahkan menjadi propaganda utama yang ditonjolkan melalui setiap program yang dijalankan.

KEBUDAYAAN DAN KESENIAN
Keunikan budaya dan seni setiap kaum di Malaysia mahupun pelajar-pelajar antarabangsa yang ada di Universiti Malaya diketengahkan dalam FESKUM‘11. Warna-warni budaya dan kesenian ini akan dipersembahkan melalui program-program yang disediakan.

SUKAN DAN KESIHATAN
Menyemai tanggungjawab menjaga kesihatan rohani dan jasmani dalam kalangan mahasiswa melalui pertandingan, pameran mahupun program-program yang diadakan. Kesihatan rohani dan jasmani penting bagi melahirkan pelajar dan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja intelek, bahkan kreatif, proaktif dan berdaya saing.

KEUSAHAWANAN DAN KERJAYA
Membudayakan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UM selaras dengan impian Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang ingin mahasiswa menceburi bidang keusahawanan. FESKUM‘11 merupakan salah satu platform terbaik untuk menanam, menyemai dan seterusnya menghasilkan insan-insan yang berjiwa besar dan memiliki minda usahawan.

MODAL INSAN
FESKUM’11 menjana warga kampus yang berkeyakinan tinggi, matang dan intelek serta berdaya saing untuk menghadapi cabaran global. Aspek-aspek inilah yang akan melahirkan modal insan yang berkualiti dan berinovasi untuk memimpin negara. "