Bajau Community (Semporna, Sabah)

SEMPORNA
-------------

Semporna,
Tanah pusaka bangsa bermaruah,
Kebanggaan para nelayan dan petani sejak dulu kala,
Di sinilah tumpahnya darah merah.

Semporna kebanggaan para petani dan nelayan,
Menggapai riak air di semudera tampias ditiup angin,
Sinar lampu-lampu neon tumpah di bahu jalan,
Melimpah membasahi hijau daun harapan.

Seperti awal mulanya,
Anak-anak nelayan berlari di kulit laut,
Keranuman aroma janji dari wakil anak bangsa,
Menjaring kilau kemilau cahaya merdeka keramat,
Terasak menjaring kelikir-kelikir dusta,
Dibelenggu kekusutan yang masih melakat.

Semporna yang kurindu,
Suram cahaya pada waktu gelap malam,
Tidak termampu menerangi gugusan pulau-pulau,
Menjadi gumpalan sebuah dendam terpendam,
Limpahan janji juragan bangsa tinggal ungkapan bisu.

Semporna tanah lahir yang tidak terlupakan,
Sebenarnya masih menyimpan sebuah serpihan kegagalan,
Jiwamu masih membidik janji yang tinggal ungkapan,
Bukan kerana langkah yang disusun gelandangan,
Dari kerakusan tangan-tangan tanpa haluan,
Melatam kuntum bunga dan hijau daun berguguran.

Semporna tanah ibu pertiwi,
Hari ini bersama detik jam tanpa henti,
Aku menyelusuri gigi pantai,
Berpaut pada hembusan bayu pagi,
Menggapai keranuman waktu yang masih setia berlari,
Kau petik kuntum bunga-bunga nan wangi,
Sehingga di penghujung lebuh raya ini,
Aku masih temui bebatuan tajam berdiri,
Masih ada kelikir-kelikir kepayahan yang tidak terurai.

Semporna tanah tumpah darah,
Tempat akhir menutup mata,
Khabarkan kepada bias waktu yang cerah,
Menghimpun suara bahagia,
Suram cahaya bukan kerana tidak bercambah,
Ada benarnya jika kita ikhlas dalam segala-galanya.

Nukilan;
Bayu.
Semporna Sabah.
24.04.2006. Jam: 0245 hrs.