Kampung Kepayang

Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh merupakan satu-satunya Kampung Melayu Tradisional yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Ia merupakan satu perkampungan yang memiliki sejarah yang tersendiri dan sewajarnya dikekalkan sebagai satu warisan untuk generasi yang akan datang. Status tanah rizab Melayu yang dimilikinya dan juga kedudukannya yang terletak di kawasan yang amat strategik iaitu ditengah-tengah Bandar Raya Ipoh secara tidak langsung dapat memperlihatkan kelebihan dan keistimewaannya berbanding dengan kampung-kampung lain yang terdapat di Negeri Perak.\n \n Walau bagaimanapun kelebihan dan keistimewaan yang terdapat dalam Kampung Kepayang tidak dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya sebaliknya ia dimanipulasikan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu yang akhirnya mengakibatkan semakin hari semakin terhakis keluasan tanah Kampung Kepayang. Semakin hari Kampung Kepayang dirobek dan dihakis oleh golongan kapitalis yang hanya memikirkan keuntungan tanpa memikirkan nilai warisan bangsa yang seharusnya dikekalkan.\n \n Bukan sekadar tanahnya dihakis, malah sejarah Kampung Kepayang juga dicaca-merbakan sehingga menyebabkan anak-anak muda generasi baru terpinga-pinga dan tertanya-tanya sejarah dan asal-usulnya. Ada yang keliru dan ada juga yang langsung tidak tahu. Malah ada juga yang tidak bersedia untuk tahu dan tidak mahu tahu. Mungkinkah ini semua ini telah diatur oleh golongan tertentu agar ia menjadi sebegitu? Atau mungkin nilai-nilai keistimewaan Kampung Kepayang yang telah dirobek dan dihakis menyebabkan anak-anak muda tidak lagi berminat untuk tahu lantaran merasakan ia tidak bernilai dan tidak memberi apa-apa makna kepada mereka?