KUALA BERANG

Kawasan ini dipercayai merupakan petempatan manusia terawal di Terengganu. Ini dibuktikan dengan penemuan barang-barang kegunaan harian manusia di gua sekitar Tasik Kenyir. Sebelum kawasan itu ditenggelami air, kita dapat melihat kesan-kesan manusia terawal yang mendiami kawasan itu. Penemuan Batu Bersurat telah membuktikan bahawa Terengganu merupakan antara negeri yang terawal menerima kedatangan Islam. Agama Islam dipercayai telah dibawa oleh pedagang-pedagang ke Tanah Melayu. Dipercayai juga sebuah pelabuhan telah wujud di Kuala Berang. Pada zaman itu, dikatakan bahawa Sungai Terengganu airnya cukup dalam untuk sebuah kapal mudik dari muara Sungai Terengganu hinggalah ke Kuala Berang. Pedagang ini dikatakan telah ramai mengislamkan penduduk setempat yang majoritinya menganuti agama Buddha. Dari situ, Islam telah berkembang ke seluruh negeri Terengganu hingga melahirkan ramai tokoh yang dihormati penduduk setempat.

Tasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. Tasik ini seluas 2,600 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil.

Semenjak kewujudan empangan di sini, kawasan sekitarnya terutama Kuala Berang telah mula dikenali oleh orang ramai baik dari dalam mahupun luar negeri. Tasik ini merupakan tempat pelancongan popular di Terengganu semenjak kewujudannya. Ia siap dibina pada 1988.

Tasik Kenyir telah menenggelamkan beberapa buah kampung dan juga hutan. Banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini. Pembinaan empangan ini telah mewujudkan pulangan ekonomi kepada penduduknya yang majoritinya adalah petani. Secara tidak langsung, penduduk di sini dapat menaikkan taraf sosial masing-masing. Kedatangan pelancong ke sini yang terkenal dengan jagung manisnya telah menaikkan nama bandar Kuala Berang di mata pihak luar yang sebelum ini dikenali sebagai 'bandar mati'