Kg Kinasaraban Kundasang Ranau

ASAL-USUL NAMA KG KINASARABAN

Mitos asal-usul Kinasaraban
Sumber: Azlan Jaibi

Kampung Kinasaraban terletak 92 kilometer daripada Kota Kinabalu melalui arah utara, terletak 16 kilometer daripada Pekan Ranau, terletak 1.5 kilometer daripada Pekan Kundasang, 2 kilometer daripada Taman Kinabalu (Kinabalu Park) dan terletak 15240 kaki daripada aras laut. Kampung Kinasaraban merupakan salah satu daripada Kampung yang disenaraikan dalam mukim Kundasang. Kegiatan pertanian merupakan aktiviti yang paling banyak dijalankan dan menjadi sumber ekonomi yang terpenting kepada penduduk Kampung Kinasaraban.

Keadaan bentuk muka bumi Kampung Kinasaraban ialah berbukit bukau dan mengalami iklim khatulistiwa. Mengalami suhu yang dingin disebabkan terletak di kaki Gunung Kinabalu dan mempunyai tanah yang sangat sesuai untuk kegiatan penanaman dan pertanian sayur – sayuran beriklim sejuk. Kampung Kinasaraban terletak dalam lingkungan Banjaran Crocker dan terletak diantara 2 buah sungai iaitu Sungai Tohukad dan Liwagu.

Orang Dusun merupakan penduduk,majoriti, tetap dan penduduk asal yang tinggal di Kampung Kinasaraban. Kebanyakan penduduk di Kampung Kinasaraban bekerja sebagai petani dan penjual sayur.

A. Sejarah Kampung Kinasaraban

Asal usul Kampung Kinasaraban ialah satu kawasan yang dinamakan sebagai HOHOWUNON. Nama ini diberi bersempena maksudnya (Berkabus) ‘bersempadan dengan Kampung Himbaan dan Pahu.

Sejarah Kampung Kinasaraban bermula dengan sebuah mitos apabila pada suatu ketika dahulu ada beberapa orang pemburu telah datang memburu di kawasan Kampung Kinasaraban pada masa kini. Setelah sekumpulan pemburu telah penat berburu, mereka memilih satu tempat untuk mereka mendapatkan tempat berteduh dan berehat untuk beberapa hari. Mereka telah memilih sebatang pokok ara yang terdapat di kawasan mereka berburu sebagai tempat mereka berehat dan berteduh. Dikatakan, pokok ara yang mereka pilih untuk berteduh mempunyai saiz yang sangat besar.

Mengikut riwayat orang tua – tua yang tahu tentang sejarah pokok ara tersebut, disebabkan pokok ara itu menjadi daya tarikan kepada binatang – binatang dalam hutan, pemburu yang datang memburu di sekitar pokok ara itu akan mendapat hasil yang lumayan dan secara tidak langsung mereka mendapat tempat berlindung daripada hujan di bawah pokok ara tersebut. Sekumpulan pemburu yang telah datang ke pokok ara itu sangat berpuas hati dengan hasil buruan mereka. Apabila mereka pulang ke rumah mereka masing – masing, mereka telah menceritakan pengalaman mereka semasa mereka memburu di kawasan pokok ara tersebut. Maka ramailah orang -orang di kampung tersebut tertarik untuk datang memburu ke kawasan pokok ara itu.

Hari demi hari, ramailah pemburu datang ke tempat pokok ara itu berada dan berteduh di bawah naungan pokok ara tersebut. Sehinggalah pada suatu ketika, sekumpulan pemburu telah terlupa untuk memadamkan bara api masih menyala semasa mereka meninggalkan pokok ara tersebut dengan membawa hasil buruan mereka balik ke kampung mereka.

Akhirnya tanpa pengetahuan pemburu tadi, api yang mereka tinggalkan telah merebak dan semakin membesar. Oleh hal yang demikian, berlakulah kebakaran yang sangat besar di kawasan pokok ara itu tumbuh. Kebakaran itu telah menyebabkan pemusnahan kawasan secara besar – besaran. Apa yang lebih menyedihkan, pokok ara yang amat besar dan menjadi tarikan kepada binatang – binatang dalam hutan dan juga sebagai tempat yang paling baik untuk memburu turut musnah dalam kebakaran tersebut.

Berikutan dengan peristiwa itu, tempat itu mula diberi nama Kinasaraban (dalam bahasa dusun) ataupun dalam ertikata lain, Bekas Kebakaran (dalam bahasa melayu). Selepas peristiwa kebakaran itu berlalu, sekumpulan pemburu telah datang ke kawasan kebakaran dengan membawa benih – benih tanaman kerana mereka mendapati kawasan itu telah bersih daripada semak dan hutan serta sesuai untuk penanaman pelbagai jenis tanaman. Mereka telah mula bercucuk tanam dan memburu seperti biasa di kawasan kebakaran tersebut. Setelah beberapa lama mereka tinggalkan benih yang mereka tanam, mereka pun kembali ke kawasan mereka bercucuk tanam dan mereka amat terkejut kerana hasil tanaman mereka amat menggalakkan dan tumbuh dengan subur.

Sekali lagi mereka pulang ke kampung mereka dan menceritakan pengalaman menarik mereka mengenai peristiwa di kawasan kinasaraban. Hal ini telah menarik hati penduduk kampung pemburu tersebut. Akhirnya berlakulah penghijrahan beramai – ramai ke kawasan kinasaraban. Disebabkan mereka amat tertarik untuk terus menetap di kawasan kinasaraban, maka tempat itu terus didiami oleh penduduk kampung tersebut dan akhirnya mereka telah memberi nama tempat itu sebagai Kampung Kinasaraban.

Menurut kajian secara teori, Kampung Kinasaraban dipercayai telah mula wujud sejak 400 – 300 tahun yang lalu. Dipercayai berasal dari KOTA BELUD dan berhijrah ke Kampung Kinasaraban dalam sekitar 1600 – 1700. Oleh kerana secara kebetulan, nama asal tempat tinggal penduduk asal Kampung Kinasaraban yang asalnya dari Kota Belud ialah “Kampung Kinasaraban”, maka secara tidak langsung mereka membawa nama tersebut ke ‘kampung’ mereka yang baru.

Bahan peninggalan bersejarah masih boleh didapati dan dirujuk sehinggalah ke hari ini. Sebagai contoh, batuh asah, tengkorak manusia, pedang, tajau, batu bulat (Tontolob), lembing, makam lama, tempat keramat, batu perjanjian dengan mahkluk halus (Watu Garawas).


SEJARAH BATU ASAH

Batu asah di Kampung Kinasaraban boleh ditemui di tempat peninggalan lama di Kampung Pogun (bekas perkampungan lama). Batu ini digunakan oleh semua orang kampung untuk mengasah benda logam yang tajam seperti parang, pisau, lembing dan sebagainya.

SEJARAH PEDANG

Pedang ataupun gayang dalam bahasa orang tempatan di Kampung Kinasaraban digunakan oleh pendekar pada zaman dahulu untuk membunuh dan memenggal kepala orang yang asing daripada penduduk Kampung Kinasaraban. Beberapa orang pendekar yang pernah wujud pada masa dahulu telah mengumpul kepala manusia yang telah dipenggal untuk menunjukkan kehebatan diri dan juga merupakan satu pingat yang menandakan mereka seorang yang gagah dan berani. Kebanyakkan pedang yang digunakan pada zaman dahulu dipercayai ditempa oleh orang – orang Mongolia. Ini kerana mengikut rekabentuk dan binaan pedang tersebut banyak keserupaan dengan rekabentuk pedang orang Mongolia. Walaubagaimanapun, pendapat yang mengatakan pedang tersebut berasal daripada orang Mongolia masih relatif dan memerlukan kajian yang mendalam untuk mengenal pasti asal usul pedang tersebut.

SEJARAH TENGKORAK MANUSIA

Tengkorak manusia yang telah dipenggal oleh pahlawan hanya digunakan dalam pemujaan selepas penduduk Kampung Kinasaraban siap menuai hasil padi di sawah.

SEJARAH BATU BULAT TONTOLOB

Merupakan satu artifak yang paling misteri dalam sejarah Kampung Kinasaraban. Ini kerana bentuk batu itu berbentu sfera dan berat (59 kg). Membawa simbol kegagahan setiap lelaki yang lahir di Kampung Kinasaraban. Pada zaman dahulu, setiap lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis di Kampung Kinasaraban perlu mengangkat batu tersebut sebagai satu pra-syarat untuk melayakkan lelaki tersebut untuk mengahwini wanita di Kampung Kinasaraban. Tontolob selalu digunakan dalam pemujaan selepas siap menuai padi. Pemujaan batu ini dilakukan bersama dengan tengkorak kepala manusia. Menurut riwayat orang terdahulu, apabila tengkorak kepala manusia diletakkan di atas batu Tontolob, jisim batu tersebut akan bertambah. Ramai pemuda yang mampu mengangkat batu Tontolob tersebut sebelum tengkorak manusia diletakkan di atas batu tersebut. Selepas seorang bobolian meletakkan tengkorak manusia di atas batu tersebut dan membaca beberapa jampi serapah, tidak seorangpun yang hadir dalam upacara pemujaan tersebut akan mampu mengangkat batu tersebut.

TEMPAT KERAMAT

Beberapa tempat yang dianggap berkeramat. Yakni tempat yang mempunyai sejarah mistik dan misteri. Ia berkaitan dengan hubungan mahkluk halus yakni jin kepada orang Kampung Kinasaraban. Banyak kisah dan sejarah yang mengisahkan kehidupan mahkluk halus atau jin bertemu dengan manusia dan menghulurkan sedikit sebanyak bantuan kepada penduduk Kampung Kinasaraban.

Antara kisah yang menarik yang pernah terjadi ialah seorang jin telah datang kepada seorang budak perempuan yang sedang tidur dan memberi pesan agar pergi menjaga padi daripada serangan burung pipit. Selain daripada itu, bobolian pada suatu ketika dahulu banyak meminta bantuan daripada mahkluk halus ini untuk mencari binatang ternakan mereka yang sesat dalam hutan seperti babi peliharaan. Setakat ini, terdapat beberapa tempat yang masih dianggap sebagai tempat tinggal mahkluk halus. Seperti di sekitar kawasan Mogondilong, Losou, Muru Turu dan sebagainya.

SEJARAH BATU PERJANJIAN DENGAN MAHKLUK HALUS (WATU GARAWAS)

Batu itu terletak di perkampungan lama yang sudah lama ditinggalkan iaitu Kampung Losou dan dinamakan sebagai Watu Garawas. Pada sekitar tahun 1930-1945 ramai orang Kampung Kinasaraban dijangkiti sejenis wabak penyakit yang misteri dan mengorbankan banyak nyawa terutamanya anak kecil. Ramai bomoh ataupun bobolian dalam bahasa tempatan berusaha keras untuk menawarkan wabak tersebut dengan mengadakan banyak upacara pemujaan dan ritual – ritual yang berkaitan dengan penawaran. Namun mereka gagal untuk memusnahkan penyakit misteri tersebut. Akhirnya, salah seorang daripada bobolian yang bernama Encik Golokin telah nekad untuk meminta pertolongan daripada bangsa jin dan berkerjasama dengannya untuk melawan penyakit misteri tersebut. Pada ketika itu, Golokin dan beberapa orang jin telah membuat satu perjanjian ataupun dalam kata lain, kontrak antara jin dan manusia. Hasil daripada perjanjian itu, Golokin dan pihak jin membuat satu tanda perjanjian pada sebiji batu. Antara isi perjanjian yang terkandung dalam batu tersebut ialah:

• Kaum jin yang menetap di Kampung Kinasaraban membantu penduduk Kampung Kinasaraban untuk membersihkan wabak penyakit yang misteri yang melanda pada ketika itu.

• Kaum jin meminta hadiah sebagai saguhati semasa mereka membantu penduduk Kampung Kinasaraban pada ketika itu. Biasanya mereka meminta korban seekor ayam. Setepatnya, kaum jin tersebut mahukan tulang ayam.

• Salahsatu amanat En. Golokin semasa beliau masih hidup ialah:
"Sekiranya Kampung Kinasaraban mengalami masalah yang sangat rumit, dia menyarankan agar ada orang yang pergi ke makamnya (kubur) dan menjalankan upacara sembahyang dan sebagainya. Dia berharap, walaupun dia suda lama meninggal dunia, dia masih dapat 'memberi' bantuannya kepada orang kampung.
*Perlu digariskan disini, jin yang pernah membantu penduduk kampung Kinasaraban suatu ketika dahulu dipercayai masih hidup sehingga ke hari ini.
*Jadi, amanat terakhir En.Golokin merupakan satu kepercayaan yang diberikan olehnya kepada 'teman-teman' beliau yang masih hidup sehingga ke hari ini.

Banyak riwayat menegaskan jin sebenarnya memakan tulang ayam tersebut. Walaupun sejarah ini merupakan benar – benar pernah terjadi suatu ketika dahulu, namun sejarah ini amat misteri dan berunsur metafizik serta sukar untuk difahami oleh akal fikiran.